Keirin - Hari Ke3 Hanya Satu Gangsa...

on Saturday, February 11, 2012


SKUAD Malaysia berjaya menambah satu pingat gangsa pada hari ketiga Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Pingat tersebut disumbang oleh Mohd. Hariff Salleh dalam acara scratch 10 kilometer (km) lelaki elit selepas ketinggalan kepada pelumba Taiwan, Chun Kai Feng (emas) dan Thurakit Boonratanathanakorn dari Thailand (perak) akibat tayar basikalnya pancit.
Sementara itu, Ju Pha Som Net pula sekadar menduduki tempat kelima dalam acara scratch 7.5km wanita elit.
Begitupun, skuad negara akan mempunyai enam wakil dalam acara keirin hari ini.
Pada aksi separuh akhir di sebelah pagi, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng akan mengetuai cabaran dalam keirin lelaki elit biarpun kedua-keduanya terpaksa beraksi di pusingan repechages.
Dalam kategori wanita elit pula, hanya ratu pecut negara, Fatehah Mustapa sahaja yang berjaya mara ke separuh akhir, manakala seorang lagi pelumba, Ju Pha pula terkandas di pusingan repechages.
Muhd. Fauzan Nor Azman dan Malek Marcus McCrone pula berjaya membuktikan potensi mereka sebagai pengganti kepada Azizulhasni suatu hari nanti apabila kedua-keduanya berjaya mara ke separuh akhir keirin lelaki remaja.
Fauzan dan Malek berjaya melepasi pusingan pertama semalam dengan menduduki tempat kedua dalam saringan masing-masing di belakang pelumba negara Jepun.
Ummi Hamimah Mohamad juga berjaya merealisasikan hasratnya untuk beraksi di separuh akhir wanita remaja selepas menduduki tempat kedua.
Bagaimanapun, seorang lagi pelumba muda, Lauretta Eva Adrian gagal mengekori pencapaian rakan sepasukannya itu apabila gagal dalam pusingan repechages.
Saingan separuh akhir Keirin akan berlangsung sebelah pagi sebelum aksi final diadakan sebagai penutup tirai bagi acara trek ACC 2012.
Setakat ini skuad negara masih lagi mengumpul satu pingat emas, tiga perak dan enam gangsa dan berpeluang menambah kilauan emas hari ini dalam acara keirin.
Tag :

Nana Yaw Ditamatkan Kontrak

Akhirnya...setelah lama makan hati dengan persembahan dari pemain import Pahang, Nana Yaw....pengurusan Pahang telah menamatkan kontrak pemain tersebut. Semoga pengganti Nana Yaw mempunyai lebih kualiti dari yang sebelum nih....All the best buat Pahang DM.

SELEPAS enam perlawanan, kontrak penyerang Ghana, Nana Yaw ditamatkan berikutan prestasi hambar dan kehadirannya tidak banyak membantu memperkasakan skuad Pahang dalam saingan Liga Perdana.
Daripada enam penampilan itu, Yaw yang berusia 26 tahun itu hanya menjaringkan satu gol berbanding penyerang tempatan, Azamuddin Akil, empat.

Penamatan kontrak itu disahkan pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh yang mengharapkan skuad kendalian Dollah Salleh itu dapat mengisi dua kuota pemain import yang lebih berkualiti.
“Kontrak Yaw bukan ditamatkan tanpa sebarang perbincangan, tetapi selepas melihat tiada sebarang peningkatan aksi dalam enam perlawanan, kami terpaksa membuat keputusan menamatkan khidmatnya.

Keputusan itu juga bagi memastikan prestasi pasukan tidak terjejas bagi mengharungi Liga Perdana dan Piala FA,” katanya semalam.

Bagi mengisi dua kuota pemain import, Che Nasir berkata, tiga pemain masing-masing dua dari Russia dan seorang dari Serbia-Montenegro diharap mengisi kekosongan itu.
Tag :

Hafiz Hashim Kalahkan Chong Wei - Simulasi Game

on Thursday, February 9, 2012

DSB terkejut juga bila membaca berita hari ini. Hafiz berjaya mengalahkan Chong Wei. Itulah yang berlaku didalam perlawanan simulasi antara pemain2 badminton yang bakal menggalas cabaran ke piala Thomas nanti. Bagaimana pun DSB percaya, Chong Wei yang masih belum cergas sepenuhnya hanya seperti harimau menyimpan kuku. Belangnya akan keluar diwaktu perlawanan sebenar nanti. Insyaallah.

Hafiz+Kalahkan+Chong+Wei
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tewas mengejut kepada pemain perseorangan kedua, Muhamad Hafiz Hashim dalam satu perlawanan simulasi di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Pada aksi tersebut, Chong Wei yang merupakan pemain No. 1 dunia tewas 10-21, 21-23.
Kekalahan Chong Wei itu ternyata mencetuskan kebimbangan kerana dia diletakkan sebagai sandaran utama bagi membantu skuad negara menghadapi kempen kelayakan Piala Thomas di Macau yang bermula Isnin ini.
Bagaimanapun, bagi jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, beliau menganggap kekalahan tersebut bukanlah suatu yang membimbangkan.
Sebaliknya, Seu Bock menjelaskan, kekalahan itu adalah disebabkan keletihan yang dialami Chong Wei sepanjang menjalani latihan pusat yang bermula sejak 30 Januari lalu sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan kali ini.
"Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada Chong Wei dengan mengatakan yang dia perlu menang perlawanan hari ini (semalam).
"Selepas mengikuti jadual latihan yang padat, kamu sendiri boleh lihat yang dia beraksi dalam keadaan yang letih. Dia memberi tumpuan penuh terhadap latihan.
"Jangan hanya disebabkan perlawanan simulasi ini, Chong Wei perlu dikecualikan daripada menjalani latihan," kata Seu Bock.
Tambah Seu Bock, beliau memberi jaminan bahawa Chong Wei akan kembali berada pada tahap prestasi sebenarnya sebelum kempen kelayakan bermula.
"Masih ada beberapa hari lagi sebelum kempen kelayakan bermula. Saya yakin tidak akan ada masalah untuk Chong Wei beraksi pada tahap sebenarnya apabila kempen kelayakan bermula nanti," tambahnya.
Sementara itu, Seu Bock turut memuji persembahan yang dipamerkan Hafiz.
Jelas Seu Bock, Hafiz telah memberikan kelegaan buat skuad negara sekiranya dia boleh beraksi seperti perlawanan semalam pada kempen kelayakan nanti.
"Hafiz telah banyak menunjukkan peningkatan.
"Jadi, ia sedikit sebanyak tidak memberikan tekanan kepada Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu utama lelaki) untuk menghadiahkan mata.
"Ini kerana, Hafiz telah buktikan yang dia juga mampu menyumbangkan mata," ujar Seu Bock.
Tag :

Harimau Tewas - Muslim Jadi Kambing Hitam?

on Tuesday, February 7, 2012

Harimau-Muda-Malaya-SDB


SDM tak begitu gembira bila mendengar komen-komen peminat yang telah menyalahkan Muslim akibat kekalahan di peringkat kelayakan 2-1 semasa bertemu dengan Bahrain tempoh hari. Kita perlu terima kekalahn dengan hati dan terbuka dan perlawanan malam itu memang milik Bahrain , walaupun pemain kita telah berusaha dengan keras. Ada 2 lagi perlawanan selepas ini, diharap kesemua penyokong Harimau Malaya akan tetap setia bersama demi Tanah Tumpah Darahku.
PERTAHANAN tengah Harimau Muda, Muslim Ahmad mengakui sedikit terkilan apabila ada segelintir peminat menyalahkan dirinya di atas kekalahan 2-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kelayakan Olimpik Kumpulan C di Manama, Ahad lalu.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Ong Kim Swee hampir membawa pulang mata pertama apabila Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 1-0, tetapi kesilapan barisan tengah yang membiarkan lawan merampas bola berhampiran kotak penalti menyebabkan Bahrain memastikan kemenangan.
Dua pertahanan, termasuk Muslim terjatuh apabila Husain Al-Farhan yang merampas bola daripada pemain tengah, menggelecek dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. 

“Memang pertahanan sering disalahkan dalam situasi begini, tetapi bola sepak adalah permainan sepasukan dan kami sama-sama bertanggungjawab di atas padang,” kata Muslim mengenai gol kemenangan Bahrain yang dikatakan berpunca daripada kesilapannya. 

“Saya memohon maaf jika kesilapan saya menyebabkan skuad negara tewas, tetapi saya bukan sengaja mahu terjatuh. Ketika itu saya sudah naik ke atas dan terpaksa berpatah balik dengan pantas untuk menutup ruang ketika lawan merampas bola. 

“Permukaan padang licin juga antara punca saya terjatuh. Saya faham kekecewaan rakyat Malaysia tetapi kami lebih merasai kekecewaannya. 
“Walaupun peluang ke Olimpik sudah tertutup, baki dua perlawanan menentang Jepun dan Syria tetap akan kami hadapi dengan penuh semangat bagi mempertahankan maruah pasukan dan negara.” 

Muslim akan bersama Terengganu sehingga 18 Februari ini sebelum dipanggil semula menyertai kem Ong Kim Swee menjelang pertemuan dengan Jepun, 22 Februari ini. 

Sumber - Berita Harian 
Tag :

Veldrom Cheras Dah Tak Relevan?

Skuad-Lumba-Basikal-Negara
AHMAD Shabery (belakang dua dari kanan) bersama pelumba yang menyertai Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012, di Kuala Lumpur, semalam.
BIARPUN diberi penghormatan oleh Konfederasi Lumba Basikal Asia bagi menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012, Velodrom Kuala Lumpur di Cheras dianggap ‘ketinggalan zaman’ bagi penganjuran bertaraf antarabangsa seperti itu.
Dengan masalah lopak air akibat permukaan trek yang tidak rata dan ranting serta daun yang berguguran, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, masalah itu adalah antara sebab pentingnya pembinaan velodrom tertutup disegerakan di negara ini.
“Jika dulu velodrom terbuka dibuat kerana perlumbaan dijalankan pada musim panas, kini tidak lagi apabila perlumbaan dianjurkan pada setiap masa. 

“Kita tidak mahu nama Malaysia buruk jika berlakunya kemalangan kerana kelemahan disebabkan venue yang kita gunakan. Oleh itu, kita merasakan perlu adanya velodrom tertutup bagi pembangunan sukan di negara ini,” katanya selepas merasmikan ACC 2012 di Kuala Lumpur, semalam. 

Shabery berkata, kementeriannya akan berbincang dengan pihak swasta bagi meneruskan usaha pembinaan velodrom di Labu, Negeri Sembilan, selepas perancangan asal itu tidak mendapat kelulusan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Naim Mohamad berkata, persatuan itu akan mengemukakan cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tapak Velodrom Kuala Lumpur itu diswastakan bagi membolehkan sebuah velodrom tertutup dibina. 
Mengenai penganjuran kali kelima negara dalam Kejohanan ACC yang bermula dengan acara trek hari ini, Shabery berkata, edisi penganjuran tahun ini menyaksikan bilangan penyertaan terbesar dengan 592 pelumba daripada 27 negara. 

ACC 2012 yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik, turut mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Kejohanan Lumba Basikal Para Asia dianjurkan di Putrajaya. 

# Mana Veldrom Baru? 

Kredit - Berita Harian
Tag :

BAM Tak Ada Perancangan?



BAM terus dihentam. Kali ini oleh bekas pemain badminton pula iaitu Razif Sidek kerana didakwa tidak mempunyai perancangan khusus untuk skuad badminton negara. Pastinya BAM lebih panas selepas ini kerana seorang demi seorang bekas pemain dan jurulatih kebangsaan telah bertindak "menuding jari" ke arah mereka.


Demi kebaikan sukan negara, SDM memandang perkara ini dari sudut positif. Bayangkan lah, hampir 10 tahun Datuk Lee Chong Wei gagal dikalahkan oleh mana-mana pemain baru di kejohanan kebangsaan. Satu contoh menunjukkan kelemahan dan mungkin juga kesukaran BAM mencari pemain badminton yang berkualiti tinggi.
JANGAN berselindung di sebalik Sukan Olimpik.

Bekas pakar beregu negara, Razif Sidek sebaliknya berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus mengakui hakikat mereka sebenarnya gagal membuat perancangan sempurna untuk memenangi dan merampas semula Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi 20 tahun lalu.
Razif berkata, kenyataan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh kelmarin jelas ‘membuka pekung’ badan induk itu sendiri yang tidak mempunyai perancangan dan program untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi piala berprestij itu.
“Siapa cakap mudah menang Piala Thomas, memang susah. Tetapi saya percaya andai perancangan rapi dan teliti dibuat sejak dia (Mohd Nadzmi) menerajui BAM pada 2000, kita sepatutnya sudah berjaya menjulang piala berprestij ini dalam tempoh 12 tahun lalu.

“Bukan kita tidak ada ramai pemain berbakat, masalahnya mereka tidak digilap dan diberi peluang serta pendedahan sepenuhnya. BAM hanya beri tumpuan kepada Lee Chong Wei dan mengabaikan pemain lain,” katanya, semalam.

Razif yang menjadi antara tonggak menamatkan kemarau 25 tahun negara menjulang piala berprestij itu pada 1992, juga menegaskan ketika itu barisan negara tidak sekuat China dan Indonesia tetapi kerana perancangan rapi dan tersusun, mereka mampu merobohkan Tembok Besar China di separuh akhir dan ‘mematahkan sayap Garuda’ pada final di Stadium Negara.

“Jika BAM kata Piala Thomas tidak lagi penting, ia amat melukakan hati kami terutama pemain lama yang berjuang dan berkorban memenanginya. Jika tidak penting, mengapa China berjuang berhabis-habisan mempertahankannya,” katanya. 
Razif juga mempertikaikan keputusan BAM memilih pemain bagi menggalas cabaran negara dalam kempen pusingan kelayakan di Macau minggu depan dengan menyifatkan badan induk itu mengamalkan ‘pilih kasih’.

“Mengapa mereka tidak membuat pemilihan pemain? Lebih menghairankan saya apabila pemain yang baru pulih cedera dan sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa tersenarai dalam pasukan,” katanya. 
Sumber - Berita Harian Online 
Tag :

APC 2012 - Malaysia Tambah Pingat Lagi

Pingat-Perak-Basikal


Tahniah sekali lagi SDM ucapkan kepada skuad basikal negara yang telah berjaya mendapatkan pingat perak untuk negara. Biar apa warna sekalipun, SDB rasa ianya tetap satu penghormatan dan kejayaan yang bermakna dari mereka yang telah berusaha dengan gigih.Terima kasih diucapkan sekali lagi.
MALAYSIA menambah sebutir lagi kilauan perak pada hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Para Asia 2012 (APC 2012) di Putrajaya semalam.
Impian kombinasi Mohd. Khairul Hazwan Wahab dan Khairul Naim Azhar yang jelas begitu berazam untuk mengucup pingat emas ternyata tidak kesampaian apabila mereka sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak.
Kelmarin, mereka dikecewakan dalam acara lebuh raya Kelas B Elit Lelaki dan kali ini menerusi acara ujian masa Kelas B Elit Lelaki.
Pasangan Malaysia itu hanya mampu merakam masa 28 minit 5.611 saat untuk menyambar kilauan perak.
Sama seperti ulangan skrip kelmarin, pingat gangsa diraih oleh pelumba Malaysia - Mohd. Yusaini Yusop dan Mohd. Nur Syafiq Suhaimy yang keciciran 1:56s daripada rakaman masa pemenang pingat emas acara tersebut.
Kekentalan kombinasi pelumba Korea Selatan, Kim Jong Giu dan Kong Minwoo menyaksikan mereka merangkul pingat emas peribadi kedua apabila berjaya mencatat perbezaan masa 1:43s berbanding kayuhan pelumba tuan rumah.
Kilauan pingat perak tersebut ternyata adalah satu-satunya medal diraih pelumba Malaysia pada kejohanan dua hari itu yang melabuhkan tirai semalam.
PAC 2012 adalah acara pembuka kepada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) yang akan memulakan aksi di Velodrom Cheras bermula hari ini.
"Kami tidak berasa hampa. Ini adalah Kejohanan Basikal Para Asia yang pertama kali diadakan. Ia banyak memberi pengalaman bertanding dan mempersiapkan diri sebelum menyertai sesuatu acara.
"Ternyata pelumba Korea Selatan rata-rata sudah biasa bertanding pada peringkat tertinggi termasuk di peringkat dunia.
"Pada masa yang sama, pelumba kita masih mencari-cari pengalaman bertanding pada peringkat yang lebih kompetitif.
"Namun kami sangat gembira dengan pencapaian kali ini," kata Khairul semalam.
Dalam pada itu, APC 2012 yang julung-julung kalinya diadakan tanpa penyertaan beberapa kuasa besar seperti Jepun dan China, jelas menyaksikan Korea Selatan menyapu bersih 7 emas, 6 perak, 1 gangsa dengan kutipan 14 medal.
Filipina turut melakukan kejutan apabila pelumbanya, Bucay Arthus meraih dua emas jauh mengatasi pesaing dari Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia, sambil Iran mengakhiri cabaran PAC 2012 dengan muncul salah satu daripada tiga negara yang mampu meraih emas.
Kesemua enam negara yang menyertai APC 2012 meraih sekurang-kurangnya satu medal termasuk Singapura dan Taiwan yang menyambar gangsa.

Sumber -Kosmo 
Tag :

Dimana Malaysia pada Piala Thomas 2012 nanti

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh meminta semua pihak berpegang pada realiti bahawa skuad Piala Thomas negara tidak mampu memenangi trofi itu tahun ini.
Katanya dengan barisan pemain sedia ada, mustahil untuk skuad kali ini menamatkan kemarau 20 tahun kejohanan berpasukan badminton paling berprestij itu.

“Kita tak boleh buat apa-apa lagi sekarang, realitinya kita tiada skuad Piala Thomas yang mantap untuk membawa pulang trofi itu,” kata Nadzmi. Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan bekas presiden, Tan Sri Elyas Omar yang menuntut pengurusan BAM bertanggungjawab andai skuad kali ini gagal mara ke pusingan akhir di Wuhan, China 20 hingga 27 Mei ini.

“Pada masa ini peluang kita adalah di Olimpik menerusi Datuk Lee Chong Wei. Itulah sasaran paling realistik yang kita ada kerana peluang menang pingat emas pertama amat besar.

“Lagipun hanya Chong Wei saja pemain kita yang kuat. Beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula ‘goyah’, itu sebab kita tidak mampu memenangi Piala Thomas. “Berdasarkan peluang cerah di Olimpik, biarlah kita cuba bersungguh-sungguh. Lagipun kerajaan lebih menekankan pingat emas Olimpik berbanding Piala Thomas,” kata Nadzmi.

Skuad Piala Thomas negara buat kali pertama berdepan ancaman gagal ke pusingan akhir, bukan hanya kerana ketandusan pemain berkualiti, malah disebabkan peningkatan pasukan lain seperti Jepun dan Thailand. Skuad negara yang akan menjalani perlawanan simulasi esok akan beraksi di pusingan kelayakan di Macau 13-19 Februari ini, diundi sekumpulan dengan Korea dan Hong Kong.

Skuad Piala Thomas negara membuka cabaran menentang Hong Kong jam 9 pagi 14 Februari ini sebelum menentang Korea keesokan harinya.

Kemenangan ke atas Hong Kong pada perlawanan pertama amat penting bagi mengesahkan skuad negara layak ke suku akhir sebelum mencongak pertemuan dengan lawan yang tentunya lebih mencabar di saingan kalah mati itu.
Tag :

Lumba Basikal - Temubual Kosmo Bersama Abu Samah

Ikuti temubual wartawan kosmo Azizul Fahmi Ahmad Zabidi bersama Abu Samah, selaku Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
Lumba-Basikal-Malaysia
HARRIF mampu menggalas cabaran negara pada ACC 2012 dan LTdL 2012.
Selepas menempa siri kegagalan demi kegagalan, pasukan lebuh raya akan menghadapi dua ujian penting tahun ini - Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL).
Kali ini gambaran ACC 2012 dan LTdL 2012 dilihat sebagai cermin kepada penampilan pasukan lebuh raya bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik 2012 di London pada Julai depan.
ACC 2012 akan membuka tirainya secara rasmi esok hingga 18 Februari, manakala LTdL 2012 berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac.
Bagi mendapatkan perkembangan mutakhir pasukan lebuh raya negara, wartawan Kosmo!, AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI berkesempatan menemubual Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab baru-baru ini.
KOSMO!: Tuan Haji, pasukan lebuh raya negara dianggap gagal pada Sukan SEA 2011 di Indonesia. Malah kita langsung tidak dapat medal. Kenapa perkara ini berlaku sedangkan kita dilatih jurulatih kelahiran Australia (Graham Seers).
ABU SAMAH: Perkara ini telah dibincangkan secara terperinci. Kita panggil ramai pihak termasuk beberapa bekas pelumba negara termasuk M. Kumaresan dan Musairi (Musa) untuk beri pendapat masing-masing. Beberapa bekas pelumba lain seperti Mahazir (Hamad) juga memberi pandangannya secara mendalam. Kita dengar pendapat semua pihak kerana persatuan ingin bersikap terbuka. Tiada salah ambil pandangan orang lain selain Seers. Kita akui kegagalan pasukan lebuh raya Malaysia di Jakarta. Kita percaya perkara seumpama itu tak sepatutnya berlaku.
Sepatutnya tenaga kepakaran luar boleh beri kehebatan kepada pasukan lebuh raya Malaysia. Malangnya apa yang kita harap-harapkan tidak tercapai. Pasukan lebuh raya kita gagal raih sebarang pingat. Kegagalan ini sama sekali kita tak duga. Kita harapkan Seers boleh bimbing pelumba Malaysia. Rumusan kita ialah pelumba lebuh raya Malaysia pergi ke Jakarta tanpa persiapan yang mencukupi.
Namun, perkara seperti ini boleh berlaku di dalam dunia sukan. Nama yang besar tak jamin sesuatu. Apa saja boleh berlaku pada hari kejohanan. Cuma apa yang kita tak boleh terima ialah kegagalan untuk kali ketiga berturut-turut (pada Sukan SEA). Jalan segera yang kita ambil untuk dua kejohanan besar (ACC 2012 dan LTdL 2012) ialah kita arahkan Syed Muhammad Hussain (Syed Mazlan) untuk latih pasukan kebangsaan. Sekarang pelumba-pelumba kita sedang berlatih bersama Syed Muhammad Hussain dan nampaknya mereka ada sedikit peningkatan.
Jadi apakah sasaran persatuan pada ACC 2012 dan LTdL 2012?
Seperti biasa kita akan terus letakkan sasaran yang besar kepada Syed Muhammad Hussain. Kita mahu dia mencapai kejayaan sekurang-kurangnya (pasukan lebuh raya negara) berada dalam kelompok lima teratas. Itulah adalah garis penanda untuk ACC 2012. Sebagaimana yang kita tahu tiga negara lain yang telah layak ke Sukan Olimpik 2012 iaitu Jepun, Iran dan Uzbekistan telah sahkan penyertaan dalam acara lebuh raya di ACC 2012.
Saya pasti mereka akan hantar barisan pelumba terkuat untuk uji susunan yang akan disenaraikan ke London nanti. Saya juga pasti negara-negara seperti Iran, Hong Kong, China dan Korea Selatan akan tampilkan pelumba kuat. Malah, Korea Selatan telah tunjukkan komitmen yang tinggi apabila datang ke Kuala Lumpur lebih awal itu mulai 20 Januari lalu. Begitu juga Qatar dan Iran pada 26 Januari lalu. Ini menunjukkan mereka pandang serius ACC 2012 kerana mereka mahu uji kekuatan terkini pelumba lebuh raya masing-masing.
Pada LTdL 2012 pula, saya harapkan Syed Muhammad Hussain gunakan kepakarannya untuk bimbing pelumba negara supaya tidak hanya duduk di belakang dan jadi pemerhati. Syed Muhammad Hussain telah buktikan kepakarannya sewaktu jadi jurulatih TSG (Terengganu Cycling Team). Pada LTdL 2011, beberapa pelumba TSG berjaya naik podium sejak hari pertama lagi. Saya percaya beliau ada kepakaran untuk melonjakkan prestasi pelumba negara.
Tuan Haji, adakah pelantikan Syed Muhammad Hussain ini bersifat sementara?
Perkara ini telah dibincangkan secara kolektif dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 20 Januari lalu. Ketua Pengarah MSN (Datuk Zolkples Embong) turut beri pandangan. Malah, ketua jurulatih (John Beasley) turut ulas dan beri pandangan tentang perkara ini. Kita telah dengar pandangan semua pihak. Ada pihak yang mahukan Seers kembali serta merta melatih pasukan negara untuk ACC 2012 dan LTdL 2012.
Saya hargai pandangan tersebut. Mereka tentu ada alasan tersendiri kenapa mahukan Seers kembali melatih pasukan kebangsaan. Namun, saya berpendapat eloklah kita beri peluang kepada Syed Muhammad Hussain untuk membuktikan kehebatannya. Kita tengok apa yang boleh beliau lakukan pada ACC 2012 dan LTdL 2012. Kita mesti berani ambil keputusan. Dalam hal ini, persatuan percaya Syed Muhammad Hussain wajar diberi peluang. Lagi pun, beliau mempunyai pengalaman bertanding sebagai pelumba.
Apatah lagi, beliau juga merupakan antara 25 jurulatih tempatan yang menghadiri kursus kejurulatihan Tahap 2 yang dianjurkan oleh persatuan tahun lalu. Jadi dari segi kelayakan dan pengalaman, Syed Muhammad Hussain layak jadi jurulatih skuad lebuh raya Malaysia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Saya percaya kita mesti berani berumah di tepi pantai untuk dapatkan kejayaan pada ACC 2012 dan LTdL 2012 nanti.
Soalnya sekarang, apa akan berlaku selepas ACC 2012 dan LTdL 2012?
Rasanya eloklah kita tumpu dahulu kepada ACC 2012 dan LTdL 2012. Setakat ini kita telah beri mandat kepada Syed Muhammad Hussain untuk latih skuad lebuh raya Malaysia pada dua kejohanan besar iaitu ACC 2012 dan LTdL 2012. Selepas selesai dua kejohanan ini nanti, barulah kita duduk semula berbincang untuk perancangan seterusnya. Apa yang melegakan saya sekarang ialah kita ada ramai jurulatih berbakat besar. Untuk berlaku adil kepada Syed Muhammad Hussain, kita tengok apa hasilnya pada ACC 2012 dan LTdL 2012.
Kita andaikan perancangan Syed Muhammad Hussain tidak menjadi. Jadi apakah Pelan B pihak persatuan?
Saya sedar ramai pihak di negara ini mahukan quick result. Ramai yang sebenarnya memerhatikan kerja yang sedang dilakukan oleh Syed Muhammad Hussain. Apa kata kita doakan beliau berjaya. Kita tak boleh menelah kekuasaan Allah. Namun, kita juga harus bersedia menangani sebarang kemungkinan. Apa saja boleh berlaku kepada pelumba Malaysia pada ACC 2012 dan LTdL 2012. Mungkin berjaya, mungkin juga mereka langsung tak boleh berkayuh sehinggakan dikritik oleh ramai pihak. Namun, untuk berlaku adil, Syed Muhammad Hussain baharu saja melatih pasukan negara mulai dari 20 Disember tahun lalu.
Apa sangat yang boleh dilakukan oleh seseorang jurulatih dalam masa singkat? Saya sentiasa mahu berlaku adil kepada jurulatih tempatan. Kita tak mahu dituduh terlalu mengagung-agungkan jurulatih luar. Bagaimanapun, persatuan akan kembali berbincang demi menentukan masa depan pasukan lebuh raya negara selepas selesai ACC 2012 dan LTdL 2012.
Berbalik kepada soal Sukan Olimpik 2012. Apakah perancangan PKBM selepas berakhirnya ACC 2012 dan LTdL 2012?
Kita akan senaraikan 4 orang pelumba sebagai cadangan untuk berlatih di luar negara. Saya cadangkan agar kelompok pelumba ini berlatih di Eropah. Selain berlatih, mereka boleh berlumba pada beberapa kejohanan tertentu. Selepas dua pelumba dipilih, mereka akan terus berada di Eropah sebelum bertolak ke London sekurang-kurangnya dua minggu sebelum acara lepas beramai-ramai elit lelaki diadakan. Setakat ini kita telah kenal pasti beberapa pelumba seperti Anuar Manan, Mohd. Adiq Hussainie (Othman), Amir Mustafa (Rusli), Mohd. Zamri (Salleh) dan Mohd. Harrif (Salleh) yang ada potensi besar untuk ke London.
Bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa keputusan akhir hanya akan dilakukan selepas perbincangan bersama dengan MSN dan Beasley. Kita mahu dengar pandangan semua pihak. Saya rasa cara begini lebih bagus.
Setakat ini apakah laporan terkini yang diterima daripada Syed Muhamad Hussain?
Kita akui pelumba lebuh raya terima sedikit kejutan berlatih bersama beliau. Beliau tampilkan beberapa kelainan. Saya diberitahu Syed Muhammad Hussain lakukan beberapa reformasi terhadap minda dan masa berlatih. Seperti yang kita semua maklum, skuad lebuh raya adakan latihan pusat di Kuala Terengganu. Menjelang ACC 2012, Syed Muhammad Hussain telah arah mereka berkayuh dari Kuala Terengganu ke Gerik. Dari Gerik ke Ipoh seterusnya ke Kuala Lumpur. Ini bermakna mereka tidak lagi naik kereta atau van untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Sebelum ini mereka pernah berkayuh dari Kuala Terengganu ke Muar, Johor untuk sertai Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan. Ini adalah antara kelainan yang ditonjolkan oleh Syed Muhammad Hussain. Daripada apa yang saya terima maklum balas, pelumba-pelumba berasa kelainan yang diterapkan oleh beliau tidaklah membebankan. Malah, mereka mengalu-alukan kelainan yang cuba ditonjolkan ini. Daripada Syed Muhammad Hussain pula, saya terima laporan bahawa pelumba lebuh raya Malaysia sebenarnya berbakat besar dan boleh pergi jauh. Kita sebenarnya boleh tandingi pelumba Jepun, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, China, Hong Kong dan Korea Selatan.
Kembali kepada soal ACC 2012. Mengapa Malaysia jadi tuan rumah hanya selepas lima tahun menganjurkannya? Adakah ini tidak membebankan khususnya dari segi kewangan?
Terlebih dahulu saya ingin maklumkan bahawa ACC 2012 telah pun catat rekod kerana penyertaan lebih 600 peserta termasuk pegawai dan pelumba telah mengesahkan penyertaan. Ini satu fenomena yang baik kepada sukan berbasikal di peringkat Asia. Saya sendiri selaku Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) gembira dengan perkembangan ini. Ini menunjukkan sukan berbasikal di Asia semakin berkembang maju dan mampu untuk menandingi senario di Eropah.
Dari segi penganjuran, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ACC 2012 percaya perkara ini berlaku disebabkan kejohanan ini menawarkan mata kelayakan bagi Sukan Olimpik 2012.
Apabila menyebut soal beban kewangan, saya ingin berterima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana banyak membantu. Soalnya bukannya kita sengaja mahu jadi penganjur, tetapi kita sebenarnya mahu meraih seberapa banyak mata Sukan Olimpik yang ditawarkan pada ACC 2012 iaitu menerusi acara trek dan lebuh raya wanita.
Bagaimana pula dengan soal kualiti pelumba kita sendiri? Pelumba trek dijangka terus menyinar. Bagaimana dengan pencapaian barisan lebuh raya?
Inilah masalah yang kita harus akui sekarang. Wujud jurang besar di antara pencapaian pelumba trek dan lebuh raya. Bagaimanapun, sebahagian pelumba lebuh raya seperti Amir Mustafa, Adiq dan Harrif turut mengambil bahagian dalam acara trek. Ini jadi bukti mereka sentiasa cuba untuk berjaya. Mereka ada winning mentality. Cuma kejayaan itu muncul di mana? Adakah di dalam acara trek atau lebuh raya. Dari segi usaha untuk menang, mereka telah tunjukkan kesungguhan untuk menang.
Tiga pelumba ini juga akan ambil bahagian dalam acara trek seperti scratch race, point race, omnium dan kejar-mengejar individu serta berpasukan. Ini menunjukkan mereka memberi sumbangan kepada acara trek dan lebuh raya. Soalnya, adakah mereka berjaya? Mereka berjaya dalam bidang trek dan terus untuk mencuba dalam acara lebuh raya. Apa yang pasti kita tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.
Bagaimana dengan sasaran pelumba lebuh raya wanita pada ACC 2012?
Jika Masyizaton (Mohd. Radzi) ingin ke Sukan Olimpik 2012, inilah masa yang terbaik. Ini kerana pemenang acara lepas beramai-ramai elit wanita pada ACC 2012 akan dapat slot bertanding di London atas tiket juara Asia. Buat masa ini, hanya acara lebuh raya wanita dan trek masih dapat mata untuk ke London 2012. Seharusnya Masziyaton pandang serius kepada ACC 2012. Saya rasa dia ada peluang kerana laluan pada ACC 2012 banyak beri kelebihan kepada pelumba tuan rumah.
Akhir sekali, apa sasaran persatuan kepada pelumba lebuh raya negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2012?
Seperti yang kita sedia maklum bahawa pelumba lebuh raya tidak diberikan sasaran besar seperti (dua pelumba elit trek) Mohd. Azizulhasni (Awang) atau Josiah (Ng). Mereka sebenarnya tidak tertekan. Jadi tunjukkan kayuhan seperti biasa. Seberapa boleh yang mungkin habiskan perlumbaan. Jangan berhenti sekerat jalan sebagaimana yang berlaku pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India. Tunjukkan kepada dunia bahawa pelumba lebuh raya Malaysia sebenarnya boleh bersaing di peringkat tertinggi. Buktikan kepada dunia bahawa kita ke London secara merit bukannya atas tiket ehsan.

Tag :

APC 2012 - Kejohanan Lumba Basikal Para Asia 2012

Tahniah...tahniah kepada pelumba basikal Malaysia. Semangat, usaha telah berjaya membuahkan hasil DSM berharap mereka akan terus cemerlang demi nama negara kita Malaysia. - Sumber Kosmo

pingat-lumba-basikal-apc
BARISAN pelumba negara menunjukkan pingat perak dan gangsa yang dimenangi mereka dalam Kelas B Elit Lelaki di Putrajaya semalam.
MALAYSIA meraih empat pingat menerusi acara lebuh raya lelaki termasuk sebutir kilauan perak yang dihadiahkan Mohd. Khairul Hazwan Wahab dan Khairul Naim Azhar pada hari pertama Kejohanan Lumba Basikal Para Asia 2012 (APC 2012 di Putrajaya semalam.
APC 2012 yang pertama kali diadakan oleh Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) hampir menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah meraih kilauan emas menerusi acara Kelas B Elit Lelaki, namun kepintaran pelumba Korea Selatan, Kim Jong Giu dan Kong Minwoo menyaksikan mereka lebih awal melepasi garisan penamat perlumbaan.
Perlumbaan semalam sejauh 80.4 kilometer menyaksikan tiga pasangan Malaysia berjaya mendominasi saingan, namun kesilapan taktikal sekadar menyaksikan Khairul Hazwan dan Khairul Naim menamatkan perlumbaan dengan masa 2 jam 7 minit 10 saat - keciciran dua saat di belakang pelumba Korea Selatan.
Namun Khairul Naim tetap berbangga biarpun tewas pada henjutan terakhir kerana pasangan Korea Selatan itu merupakan pelumba yang sangat berpengalaman.
"Mereka sudah lebih 10 tahun terlibat dalam dunia basikal para. Sedangkan kita baharu saja beberapa tahun berkayuh secara serius dalam dunia basikal para. Pencapaian ini sangat baik kepada sukan basikal para Malaysia.
"Saya tetap bangga dengan pingat perak. Kalau ikutkan hati memang teringinkan pingat emas. Namun pelumba Korea Selatan bukan calang-calang pesaing," katanya semalam.
Pertarungan Kelas B Elit Lelaki turut menyaksikan Malaysia mengutip pingat gangsa menerusi Saiful Izwan Yusop dan Mohd. Nur Syafiq Suhaimy yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa yang sama dengan Khairul Hazwan serta Khairul Naim.
Kilauan gangsa turut disumbangkan oleh Mohd. Sabki Ariffin menerusi acara Kelas C4 Elit lelaki yang mencatat masa 1:31:07s - keciciran 6:24s di belakang pemenang emas iaitu Golbarnezhad Bahman yang merakam masa 1:24:43s.
Mohd. Saifuddin Rosli turut meneruskan kecemerlangan tuan rumah apabila berjaya menaiki podium dalam acara Kelas C2-C3 Elit Lelaki dengan catatan masa 1:31:10s - keciciran hampir 11 minit di belakang pemenang dari Filipina, Bucay Arthus.
Tag :

Hoki - Harimau Malaya Menang ke atas Belanda

on Monday, February 6, 2012


Skuad hoki negara yang sedang bermain dalam perlawanan persahabatan di Australia akhirnya berjaya menjelmakan kemenangan dan sinar buat Malaysia. Kemenangan itu sekurang-kurangnya memberi petanda bahawa strategi dan potensi pemain kita masih boleh ditingkatkan lagi. DSM berharap mereka berjaya memperoleh pengalaman berharga ketika disana.
SKUAD hoki negara mencatat kemenangan 2-1 ke atas Belanda pada siri perlawanan terakhir di Perth semalam sekali gus kemenangan itu mengubat kekecewaan selepas dibelasah Australia 8-1 pada perlawanan keempat sebelum ini.
Meskipun tanpa tonggak utama, Razie Rahim yang direhatkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan ketiga menentang Australia sehingga dikejarkan ke hospital, ia tidak menjejaskan rentak permainan skuad bimbingan Tai Beng Hai.

Azlan Misron yang agak tenggelam sejak kebelakangan ini, membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan gol pertama skuad negara menerusi pukulan sudut penalti, namun Belanda berjaya menyamakan kedudukan menerusi Van Werden.
Penyerang sensasi negara, Faizal Saari memastikan kemenangan skuad negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada separuh masa kedua.
Sumber - MyMetro
Tag :

"BodyGuard" Bakal Jaga Apek!!!

Kerana isu peribadinya yang selalu mendapat perhatian rakyat Malaysia, bapa Apek dikatakan mahu mengupah pengawal peribadi bagi menjaga Apek dari segala segi. SDM tak tau la,sama ada KFCM betl-betul bersetuju atau tidak dengan isu ini.....Harap2 lepas ni reda la isu menganai KHCM.
KOTA BHARU: Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mencipta sejarah bola sepak negara, apabila menjadi pemain tempatan pertama menggunakan khidmat pengawal peribadi bagi mengawasi keselamatannya.

Beliau lebih dikenali dengan gelaran Apek yang juga penjaga gawang utama ‘The Red Warriors’ dikatakan memerlukan perkhidmatan pengawal itu berikutan timbul-nya pelbagai isu negatif terhadapnya.
Bapa Khairul Fahmi, Che Mat Husin, 59, berkata keadaan menjadi lebih membimbangkan lagi dengan isu terkini yang mendakwa Khairul Fahmi menyebabkan pertunangan anak seorang usahawan terkenal di negeri ini putus.
“Saya dan keluarga begitu terkejut serta sedih apabila membaca laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin, yang melaporkan Khairul Fahmi dikatakan menjadi punca ikatan pertunangan anak usahawan itu putus.

“Sebenarnya, itu semua fitnah selain ada pihak mahu menjejaskan tumpuan anak saya ketika berhadapan dengan tugas getir bagi memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik nanti,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Penyebaran isu putus tunang itu bermula apabila seorang individu tidak dikenali menghasilkan satu akaun twitter pada 1 Februari lalu, mendakwa Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan gelaran Apek, merampas tunang orang dan gadis terbabit yang dikenali sebagai Leuniey, 21, didakwa sanggup memutuskan pertunangan itu bagi menjalin hubungan dengan Apek.

Bagaimanapun, bekas tunang gadis berkenaan terkilan apabila ada individu tertentu mengaitkan Khairul Fahmi dengan kejadian putus tunang itu, malah beliau tidak pernah membuat pengakuan mahu memutuskan pertunangan yang hanya bertahan 28 hari.
Che Mat berkata, beliau dan keluarga kini tertekan apabila ada pihak yang mengatakan anaknya jahat disebabkan laporan berkenaan.

“Saya sedih mengenangkan nasib yang menimpa Apek, bagaikan tidak henti-henti. Sebelum ini dicalitkan dengan isu minum arak, sehingga ada yang menganggap anak saya kaki minum.

“Saya dan isteri, Bidah Ibrahim, 55, sentiasa berdoa semoga Tuhan kuatkan semangat kami sekeluarga dalam menghadapi dugaan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Khairul Fahmi Resources (M) Sdn Bhd (KFR), Syed Ahmad Mohd Yusof, berkata usaha menyediakan khidmat pengawal keselamatan buat Apek perlu memandangkan beliau kini menjadi idola bukan saja di Malaysia, malah di rantau ini.

“Dengan adanya pengawal peribadi, ia bukan bermakna peminat Apek tidak boleh mendekatinya. Mereka hanya akan memantau keselamatan Apek dari kedudukan strategik dan akan mengikutinya setiap kali penjaga gol kebangsaan itu turun beraksi,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelak peminat Apek keliru dengan pelbagai kontroversi, mereka boleh melayari sesawang kelabpeminatkhairulfahmimalaysia.org atau mendapat maklumat tepat daripada Che Mat sendiri.

“Kita tidak mahu negara kehilangan seorang penjaga gol berkaliber sekiranya anak jati Kelantan ini tiba-tiba membuat keputusan menggantung jersi disebabkan tidak tahan dengan kontroversi negatif,” katanya..
Tag :

Pahang Nak Tukar Awang Import



Gamaknya akibat bosan dengan persembahan awang import mereka yang sama taraf dengan pemain tempatan, Pahang dikatakan bersedia menamatkan khidmat pemain dari Ghana itu dan digantikan dengan 2 orang pemain dari negara Russia. Andainya berita itu benar, ianya pasti satu khabar yang menggembirakan peminat Tok Gajah.
KUALA LUMPUR - Sekian lama bersabar dengan persembahan kelas ketiga bintang importnya, Nana Yaw Agyei, akhirnya jurulatih Pahang, Dollah Salleh, memberi bayangan kontrak pemain import Ghana itu berkemungkinan besar akan ditamatkan lebih awal.
Jelas Dollah, dia akan memberi peluang terakhir kepada Nana untuk menyerlah menjelang pertemuan dengan Johor di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Selasa ini dan jika masih gagal, Nana boleh mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Tok Gajah.
''Hasil perbincangan dengan pihak pengurusan, kami mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontraknya lebih awal jika gagal menyerlah dalam perlawanan menentang Johor (esok).
''Saya akan berjumpa dengan Nana dan ejennya kerana jika kami mahu menamatkan kontraknya, banyak perkara perlu dibincangkan terutama sekali pampasan.
''Memang saya agak kecewa dengan persembahan dia kerana telah diberikan banyak peluang tetapi gagal memberikan impak," katanya.
Sebagai ganti, Dollah telah membayangkan kemungkinan akan menggunakan khidmat dua pemain dari Rusia yang bermain di posisi penyerang dan tengah.

 Sumber - Utusan Malaysia
Tag :

Malaysia vs Bahrain -Olimpik London 2012

on Sunday, February 5, 2012

As salamualaikum dan salam sejahter semua.

Keputusan perlawanan Malaysia vs Bahrain pada malam ini [05/02/2012] di National Stadium Manama untuk Kelayakan Olimpik London 2012pada separuh masa pertama ialah 1-0. Penguasaan bola lebih kepada pasukan Bahrain, pasukan Malaysia lebih banyak berkubu di kawasan sendiri sehinggalah kita ditembusi 1 gol oleh pemain no 10 [Mohammad Allalawi].

Beberapa cubaan turut dilakukan oleh pasukan Malaysia. Paling hampir ialah cubaan Ahmad Shakir Ali yang berjaya melepasi perangkap off side, namun beliau gagal menyempurnakan peluang keemasan yang terhidang itu. Gurusamy dikeluarkan pada saat terakhir separuh masa pertama....pemain muda negara Nazmi Faiz Mansor diberi peluang untuk memperkuatkan skuad muda negara. Pasukan Malaysia lambat panas...hujung2 baru nak dapat rentak.

Separuh masa kedua, Malaysia seakan mula mendapat rentak dan mula mengatur gerakan. Seorang lagi pemain Malaysia, Fakri Sharani dikeluarkan dan digantikan dengan Gary Steven Robbat. Shakir juga dikeluarkan dan digantikan dengan Hazwan Bakri [6]. Serangan demi serangan dilakukan, namun penyudah masih belum jumpa ruang dan pintu gol. Akhirnya....akhirnya minit ke 85, Hazwan Bakri telah berjaya menjaringkan gol penyamaan 1-1 menerusi hantaran lintang dari Wan Zack Haikal. Cantikkkk!!!

Bahrain tak puas hati...3 pertukaran serentak dilakukan pada minit ke 86. Gilozzz...nak menang bebeno derang nih. Terus..tak sampai seminit ponggg....Bahrain berjaya membalas sebijik gol lagi menerusi pemain no 9 mereka [Hussain Al Farhan]. Siottt...4 minit masa tambahan nak cari sebijik gol...misi sukar nihh! Akhirnya...keputusan penuh adalah Malaysia 1 Bahrain 2. Tak dak point lagi la nampaknya dan harapan ke sukan Olimpik 2012 dah berkecai..tapi pujian harus juga diberikan kepada mereka yang telah berjuang bersungguh-sungguh tadi.

Apapun aku nak ucap terima kasih kepada sekumpulan kecil penyokong Malaysia yang hadir di Stadium Nasional Manama, Bahrain. Difahamkan majoriti mereka adalah anak2 diplomat dari kedutaan Malaysia disana. Dan tentunya aku lebih berasa hairan bin ajaib apabila hanya sekumpulan kecil sahaja rakyat Bahrain yang turun ke padang, walhal game tu kat ditempat mereka. Gamaknya derang tak minat bola tak?

Pas ni kita tunggu Jepun pulak kat Stadium Bukit Jalil......



#entri dr blog utama DSM, yastroonline.
Tag :

Sukan Olimpik 2012 - Malaysia vs Bahrain 05/02/2012



Kim Swee mahu anak didik bangkit pada perlawanan di Manama 

“INI bukan misi balas dendam.” Itu pegangan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menjelang pertemuan dengan Bahrain buat kali kedua dalam kempen Kelayakan Olimpik Zon Asia di Manama hari ini, selepas Harimau Muda tewas 3-2 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, 27 November lalu.

“Saya tidak percaya dengan istilah balas dendam kerana ia sebahagian daripada sifat kebencian dan jika diamalkan, kita akan merana,” kata Kim Swee ketika dihubungi semalam. “Kita lihat apa yang terjadi kepada Indonesia, kerana terlalu ingin membalas dendam kepada pasukan negara, akhirnya mereka menerima padah.
“Jadi pendekatan saya pada perlawanan kedua ini ialah membuktikan yang kita sudah belajar daripada kesilapan sebelumnya dan esok (hari ini) pemain perlu membuktikan apa yang mereka pelajari daripada kekalahan di Bukit Jalil.” 

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia yang mendahului 2-0 menerusi Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli, terlepas peluang mengutip tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan C apabila dibolosi tiga kali dalam tempoh 10 minit sebelum tewas 2-3. 

Sebelum itu, anak buah Kim Swee yang turut memikul misi mempertahankan emas Sukan SEA di Jakarta, tewas kepada Jepun (0-2) dan Syria (0-2). 

Kemenangan ke atas Bahrain hari ini akan menghidupkan kembali peluang negara merebut tangga kedua kumpulan dan beraksi pada play-off di Vietnam. 

“Bahrain sudah tentu ada kelebihan di tempat sendiri, tetapi sokongan padu penyokong lawan bukan masalah buat pemain kita,” kata Kim Swee mengenai peluang anak buahnya di Manama. “Malah kali ini kami lebih bersedia kerana beberapa tonggak sudah pulih dan tempoh persediaan yang panjang sebelum perlawanan. 

“Bagaimanapun pemain yang sudah lama tidak beraksi belum mendapat tahap kecergasan maksimum, jadi mungkin saya tidak dapat turunkan dalam kesebelasan utama. 

“Tetapi kehadiran mereka sudah tentu memberi saya lebih pilihan di bangku simpanan, berbeza dengan situasi di Bukit Jalil di mana selepas Nazmi tercedera, saya tidak mempunyai banyak pilihan untuk memasukkan penggantinya.”

Peluang beraksi di Manama akan digunakan sepenuhnya Kim Swee untuk meningkatkan kecergasan pemain yang baru pulih daripada kecederaan seperti Gary Steven Robbat, Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Ahmad Hazwan Bakri, sekali gus meningkatkan kekuatan skuadnya menjelang pertemuan dengan Jepun, 22 Februari nanti. 



-Perlawanan dijangka akan disiarkan secara langsung diTV1 dan Astro malam ni jam 11.30 malam. Harap semua penyokong Harimau Malaya bersedia didepan tv masing-masing!!!



Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my

Tag :

Azizul Hasni Awang - Mana Veldrom Lumba Basikal?

Azizul-hasni-Awang


PELUMBA harapan negara, Azizulhasni Awang menggangap sudah tiba masanya untuk negara memiliki sebuah velodrom tertutup bertaraf antarabangsa ketika negara jiran, Singapura, turut merancang membina velodrom itu tahun depan.


Katanya, velodrom itu bakal memberi kelebihan kepada pelumba tempatan ketika keadaan velodrom terbuka di Cheras yang akan menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) Rabu ini langsung tidak memberi sebarang kelebihan kepada pelumba negara. “Memang saya harap Malaysia memiliki satu velodrom tertutup demi kebaikan pelumba negara. Ia penting untuk terus menggilap bakat muda pada masa depan.

“Kini, Jepun sudah ada velodrom tertutup, Singapura juga dilapor membina velodrom ini dan dijangka siap tahun depan. Saya harap mana-mana syarikat dapat merealisasikannya,” katanya.



Menjelang aksi di ACC yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik, Azizul yang ditaja Yayasan Sime Darby sejak 2010 mahu memastikan velodrom Cheras menjadi saksi kebangkitannya dengan menghadiahkan pingat buat negara.

Azizul yang menyertai acara keirin dan pecut mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat selepas menghadiahkan tiga emas dalam kategori remaja ketika beraksi di tempat sama pada 2006.


Namun, anak jati Terengganu itu mengaku biarpun beraksi di tempat sendiri ia tidak memberi kelebihan dan semua pelumba memiliki peluang sama rata.



“Kami tidak memiliki kelebihan kerana sebelum ini saya menjalani latihan di velodrom tertutup.

“Tapi saya yakin dan dapat merasakan prestasi sentiasa meningkat setiap kali menyertai perlumbaan justeru berharap dapat buat yang terbaik terutama di hadapan penyokong sendiri.



“Peluang meraih pingat emas ada tapi semuanya terpulang kepada taktik pada hari pertandingan. Andai semua berjalan lancar memang tiada masalah untuk dapatkan emas. Apapun saya pasti beri yang terbaik,” katanya.

Kali terakhir Azizul merangkul emas di ACC 2009 di Kalimatan Indonesia menerusi acara keirin dan tahun lalu di kejohanan yang sama di Korat, Thailand, skuad negara membawa pulang satu emas, satu perak dan lima gangsa. Emas negara disumbang jaguh 1 kilometer negara, Rizal Tisin.


Mengulas peluang Azizul untuk layak ke Olimpik, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad yakin Azizul berpeluang cerah. begitu juga dengan Josiah Ng.


Katanya, Azizul dan Josiah berada dalam kedudukan selesa untuk pungutan mata namun perlu berhati-hati dengan pelumba China dan Jepun.



Oleh AIDA ADILAH MAT
aida@hmetro.com.my
Tag :

18 Pemain, 1 Jurulatih Liga Malaysia Rasuah?

Waaa...parah kalau macam nih..18 orang pemain termasuk seorang jurulatih didapati terbabit dalam rasuah? DSM berharap perkara ini bukan sesuatu yang benar. Amat malang lagi seandainya perbuatan rasuah ini masih melanda Liga Malaysia. Diharap pemain lain dapat menjadikan perkara ini sebagai satu pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengenalpasti 18 pemain dan seorang jurulatih yang didapati terbabit dalam skandal rasuah pada saingan Liga Malaysia musim lepas.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelaskan bahawa pemain dan jurulatih berkenaan akan dikenakan hukuman penggantungan antara dua hingga lima tahun.
"Hukuman tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan serta nasihat Jawatankuasa Disiplin FAM.
"Pemain dan jurulatih berkenaan akan diambil tindakan dan senarai nama mereka akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.
"Ini membuktikan keseriusan FAM untuk memerangi gejala rasuah dalam bola sepak. Saya berharap ia akan memberi pengajaran kepada pemain dan pegawai yang terlibat dalam semua kejohanan kelolaan FAM," titah baginda.
Pemain-pemain terbabit terdiri daripada enam pemain dari pasukan Negeri Sembilan dan seorang jurulatih, pasukan T-Team (enam) dan pasukan MP Muar (enam).
Terdahulu, Tengku Abdullah telah menyampaikan sumbangan kepada dua badan kebajikan NCWO Negeri Sembilan dan Yayasan Kemiskinan Kelantan dan mereka masing-masing menerima cek bernilai RM50,000 hasil kutipan tiket daripada Piala Sumbangsih 2012.
Pada awal bulan lalu, saingan bola sepak tempatan turut dikejutkan dengan aktiviti mengatur perlawanan membabitkan perlawanan antara Perlis dengan Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) dalam aksi pembukaan Liga Premier musim 2012.
Pada perlawanan tersebut, pemain Perlis yang dibelasah sehingga tujuh gol oleh MP Muar mengakui terdapat penglibatan bookie dalam mengatur keputusan perlawanan tersebut.
Tidak mahu gejala tersebut berlarutan, Presiden Persatuan Bola Sepak (PFA) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengambil tindakan segera mengadakan perjumpaan dengan semua pemain selepas perlawanan tersebut yang membawa kepada pengakuan bahawa terdapat segelintir pemain dipancing oleh seorang bookie.
Ekoran pengakuan tersebut, beberapa pemain Perlis telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tunjuan penyiasatan.
Setakat ini, kes membabitkan pemain Perlis masih dalam proses penyiasatan.
sumber - Kosmo online
Tag :
 
© SukanDMalaya | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO