Mercedes F1 Kena Kritik Oleh Pelabur

on Tuesday, February 19, 2013



Mercedes F1 Kena Kritik Oleh Pelabur | Pengerusi Mercedes, Niki Lauda tampil mempertahankan reputasi Mercedes dalam perlumbaan Formula Satu (F1) selepas pasukan itu dikritik hebat oleh para pelabur.
Mercedes kembali bersaing dalam perlumbaan berprestij itu selepas membeli saham Brawn GP pada musim 2010.
Begitupun, pasukan yang berpangkalan di Jerman itu hanya memenangi satu perlumbaan sahaja menerusi Nico Rosberg yang bermula di petak hadapan pada GP China, tahun lepas.
Bagi musim 2013 ini, tempat juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher telah digantikan oleh Lewis Hamilton, namun pasukan itu sedar masih banyak perkara yang perlu dilakukan mereka bagi mengatasi kelemahan tahun lalu.
Tatkala kejayaan Rosberg berjaya memberi publisiti buat Mercedes di serata dunia dengan menjimatkan kos promosi Daimler sekitar 50 juta euro (RM206.7 juta), pengeluar kereta tersebut bagaimanapun terpaksa menyediakan dana dua kali ganda daripada jumlah berkenaan dalam perlumbaan F1 meskipun menerima tajaan sekitar 200 juta euro (RM826.9 juta).
Kegagalan melakar kemenangan dalam F1 telah menyebabkan beberapa pemegang saham mula menyuarakan kebimbangan terhadap projek F1 mereka dengan pelbagai komen negatif ditujukan kepada penyertaan berterusan syarikat itu dan juga jumlah wang yang telah disalurkan kepada pasukan.
Bagaimanapun, Lauda yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Mercedes F1 selepas musim 2012, tidak bersetuju dengan komen itu.
"Tidak diragui lagi bahawa F1 telah membawa pembangunan berterusan yang positif kepada Mercedes sejak sedekad yang lalu," kata Lauda, 63.
"Jumlah penonton televisyen juga semakin meningkat dan lebih banyak negara yang berebut untuk menjadi penganjur. Ia satu peningkatan yang mendadak dan telah memberi faedah kepada Mercedes.
"Nilai bagi pemasaran masih ada dan jelas sekali ia banyak berkait dengan kejayaan.
"Ferrari juga berdepan situasi yang sama dengan kami tetapi kami perlu lebih kreatif. Saya harap pemegang saham kami dapat bersabar," jelasnya. - Agensi

10 Blogger Terbaik Malaysia



{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© SukanDMalaya | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO