4 Kelab Berminat Dengan Safee Sali

on Friday, January 20, 2012

4 Kelab Berminat Dengan Safee Sali


KETIKA perbincangan kontrak baru Mohd Safee Sali bersama kelab Pelita Jaya FC belum mencapai kata putus, empat pasukan tempatan cuba memancing penyerang Harimau Malaya itu untuk membawanya kembali beraksi di Liga Malaysia.


Perkembangan terbaru itu disahkan pengurus Safee, Zakaria Abd Rahim yang menyatakan bahawa segala tawaran yang dikemukakan akan dipertimbangkan sebaik mungkin sebelum keputusan dibuat selewat-lewatnya minggu depan sebelum kontrak Safee dengan Pelita Jaya tamat 31 Januari ini.

“Setakat ini ada empat pasukan Liga Malaysia yang berminat mengambil Safee tapi saya meminta mereka mengemukakan tawaran rasmi terlebih dulu,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan Mister Potato kepada Muhammad Ariff Zulkifli yang akan menjalani ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole New Zealand 1 Mac ini.




Difahamkan dua pasukan dari Selatan tanah air, satu dari Pantai Timur dan satu di Lembah Klang mula mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Safee bagi memperkuatkan cabaran dalam kempen Liga-M.

Zakaria bagaimanapun mengaku, hingga kini hanya Pelita Jaya yang menawarkan tawaran lebih komprehensif berbanding pasukan lain termasuk satu kelab dari Thailand, Muang Thong United.


“Muang Thong ada memberikan tawaran yang jelas tapi beberapa pasukan lain hanya sekadar bertanya kedudukan Safee. Tapi yang pasti Pelita Jaya memberikan tawaran lebih komprehensif kerana mereka mengambil kira masa depan Safee di sana.





“Pelita Jaya menawarkan kontrak tiga tahun kepada Safee sebaliknya Safee hanya berminat dengan kontrak selama setahun, itulah perkara yang dibincangkan kedua-dua pihak. Saya akan ke Indonesia minggu depan untuk membincangkan tawaran itu dan kemudian barulah keputusan akan diumumkan,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau menolak tanggapan bahawa Safee, 28 perlu kembali semula ke tanah air memandangkan kemelut dalaman Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang kemungkinan boleh menyebabkan pemain negara itu tidak dapat menyarung jersi Malaysia.




Katanya, Safee yang hampir setahun di Pelita Jaya masih bersemangat untuk bersama kelab Liga Super Indonesia itu tambahan pula baru saja mendapat bimbingan jurulatih baru, Rahmad Darmawan iaitu bekas jurulatih skuad bawah 23 Indonesia.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© SukanDMalaya | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO