Skuad Hoki Olimpik Negara, Bersediakah Anda?

on Friday, January 20, 2012

Imbasan kekalahan skuad hoki Malaysia kepada China tempohhari

Skuad Hoki Olimpik Negara, Bersediakah Anda?
Kami harap, keputusan perlawanan hari tu bukanlah ukuran buat skuad hoki negara yang sedang bersiap sedia didalam kelayakan ke Sukan Olimpik 2012 di London. Kami tetap yakin dengan kemampuan skuad hoki negara untuk melepasi kelayakan tersebut. Diharap, para pemain tidak tertekan dan terlalu gusar dengan perlawanan persahabatan yang lalu. Bravo Hoki Negara!!! Ngaumkan suara Harimau Malaya!!!!


DUBLIN, Ireland mungkin bakal mencatat sejarah terhapusnya badi skuad hoki negara untuk layak ke Sukan Olimpik London sejak edisi 2000 di Sydney Australia, namun Dublin juga bakal menyaksikan kemungkinan impian itu terus tinggal impian saja. Tinggal kurang tiga bulan sebelum bermulanya pusingan kelayakan Sukan Olimpik di negara itu, seolah-olah tiada sentuhan magis yang boleh meyakinkan peminat skuad negara sudah bersedia dalam erti kata sebenar bagi menghadapi tugasan paling besar tahun ini.

Terbaru, rekod tiga kemenangan dan dua kali tewas kepada China menerusi lima siri perlawanan persahabatan bersama negara Tembok Besar itu sebenarnya agak menggusarkan kerana tidak sepatutnya anak buah Tai Beng Hai kecundang dua kali meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan. Malah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang juga bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, hadir ke Stadium Hoki Bukit Jalil pada perlawanan keempat untuk menyaksikan aksi skuad negara sebelum meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pengurusan skuad negara selepas tamat perlawanan.

Beng Hai mungkin mempunyai penjelasan tersendiri, namun beliau juga perlu menerima hakikat bukan alasan yang mahu didengar peminat, sebaliknya keputusan memberangsangkan dicapai pada setiap perlawanan.

“Walaupun ia hanya perlawanan persahabatan, bagi saya pemain perlu ada sikap sentiasa mahu menang. Lihat bagaimana pasukan Eropah seperti Jerman yang tidaklah bermain 100 peratus ketika perlawanan persahabatan tapi dengan sikap positif seperti ini, mereka sentiasa mencatat kemenangan. “Saya tidak tahu perancangan sebenar pengurusan tapi kalau keputusan perlawanan bertemu China sama seperti pusingan kelayakan Sukan Olimpik, kita mungkin tersingkir awal,” kata bekas pemain negara, Mohamad Abdul Hadi.

Tanpa berselindung, Mohamad juga tidak mengetepikan rasa bimbang melihat perkembangan semasa skuad negara yang pada anggapannya belum mencapai prestasi terbaik untuk beraksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik. “Beraksi di pusingan kelayakan bukan mudah. Di sana anda memerlukan tahap tumpuan dan keyakinan yang cukup tinggi. Saya fikir jurulatih perlu menerapkan rasa yakin dalam diri setiap pemain, bukan sekadar sentiasa berlatih di padang saja,” katanya yang beraksi di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Sementara itu, bekas pakar pukulan sudut penalti negara, S Kuhan berpendapat, skuad negara tidak boleh melepaskan peluang terhidang untuk layak ke Sukan Olimpik London kerana selain Korea Selatan dan Ireland, Malaysia dijangka tidak berdepan cabaran lebih sukar.

“Saya seperti peminat hoki lain tentunya mahu melihat skuad kita layak ke Olimpik. Tetapi untuk beraksi di pusingan kelayakan, pemain perlu mempamerkan tahap keyakinan tinggi,” katanya yang beraksi pada dua temasya Sukan Olimpik iaitu 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dan edisi Sydney, Australia empat tahun selepas itu.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© SukanDMalaya | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO