BAM terus dihentam. Kali ini oleh bekas pemain badminton pula iaitu Razif Sidek kerana didakwa tidak mempunyai perancangan khusus untuk skuad badminton negara. Pastinya BAM lebih panas selepas ini kerana seorang demi seorang bekas pemain dan jurulatih kebangsaan telah bertindak "menuding jari" ke arah mereka.
Demi kebaikan sukan negara, SDM memandang perkara ini dari sudut positif. Bayangkan lah, hampir 10 tahun Datuk Lee Chong Wei gagal dikalahkan oleh mana-mana pemain baru di kejohanan kebangsaan. Satu contoh menunjukkan kelemahan dan mungkin juga kesukaran BAM mencari pemain badminton yang berkualiti tinggi.
JANGAN berselindung di sebalik Sukan Olimpik.Sumber - Berita Harian Online
Bekas pakar beregu negara, Razif Sidek sebaliknya berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus mengakui hakikat mereka sebenarnya gagal membuat perancangan sempurna untuk memenangi dan merampas semula Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi 20 tahun lalu.Razif berkata, kenyataan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh kelmarin jelas ‘membuka pekung’ badan induk itu sendiri yang tidak mempunyai perancangan dan program untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi piala berprestij itu.“Siapa cakap mudah menang Piala Thomas, memang susah. Tetapi saya percaya andai perancangan rapi dan teliti dibuat sejak dia (Mohd Nadzmi) menerajui BAM pada 2000, kita sepatutnya sudah berjaya menjulang piala berprestij ini dalam tempoh 12 tahun lalu.
“Bukan kita tidak ada ramai pemain berbakat, masalahnya mereka tidak digilap dan diberi peluang serta pendedahan sepenuhnya. BAM hanya beri tumpuan kepada Lee Chong Wei dan mengabaikan pemain lain,” katanya, semalam.
Razif yang menjadi antara tonggak menamatkan kemarau 25 tahun negara menjulang piala berprestij itu pada 1992, juga menegaskan ketika itu barisan negara tidak sekuat China dan Indonesia tetapi kerana perancangan rapi dan tersusun, mereka mampu merobohkan Tembok Besar China di separuh akhir dan ‘mematahkan sayap Garuda’ pada final di Stadium Negara.
“Jika BAM kata Piala Thomas tidak lagi penting, ia amat melukakan hati kami terutama pemain lama yang berjuang dan berkorban memenanginya. Jika tidak penting, mengapa China berjuang berhabis-habisan mempertahankannya,” katanya.
Razif juga mempertikaikan keputusan BAM memilih pemain bagi menggalas cabaran negara dalam kempen pusingan kelayakan di Macau minggu depan dengan menyifatkan badan induk itu mengamalkan ‘pilih kasih’.
“Mengapa mereka tidak membuat pemilihan pemain? Lebih menghairankan saya apabila pemain yang baru pulih cedera dan sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa tersenarai dalam pasukan,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment