Lumba Basikal - Temubual Kosmo Bersama Abu Samah

on Tuesday, February 7, 2012

Ikuti temubual wartawan kosmo Azizul Fahmi Ahmad Zabidi bersama Abu Samah, selaku Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
Lumba-Basikal-Malaysia
HARRIF mampu menggalas cabaran negara pada ACC 2012 dan LTdL 2012.
Selepas menempa siri kegagalan demi kegagalan, pasukan lebuh raya akan menghadapi dua ujian penting tahun ini - Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL).
Kali ini gambaran ACC 2012 dan LTdL 2012 dilihat sebagai cermin kepada penampilan pasukan lebuh raya bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik 2012 di London pada Julai depan.
ACC 2012 akan membuka tirainya secara rasmi esok hingga 18 Februari, manakala LTdL 2012 berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac.
Bagi mendapatkan perkembangan mutakhir pasukan lebuh raya negara, wartawan Kosmo!, AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI berkesempatan menemubual Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab baru-baru ini.
KOSMO!: Tuan Haji, pasukan lebuh raya negara dianggap gagal pada Sukan SEA 2011 di Indonesia. Malah kita langsung tidak dapat medal. Kenapa perkara ini berlaku sedangkan kita dilatih jurulatih kelahiran Australia (Graham Seers).
ABU SAMAH: Perkara ini telah dibincangkan secara terperinci. Kita panggil ramai pihak termasuk beberapa bekas pelumba negara termasuk M. Kumaresan dan Musairi (Musa) untuk beri pendapat masing-masing. Beberapa bekas pelumba lain seperti Mahazir (Hamad) juga memberi pandangannya secara mendalam. Kita dengar pendapat semua pihak kerana persatuan ingin bersikap terbuka. Tiada salah ambil pandangan orang lain selain Seers. Kita akui kegagalan pasukan lebuh raya Malaysia di Jakarta. Kita percaya perkara seumpama itu tak sepatutnya berlaku.
Sepatutnya tenaga kepakaran luar boleh beri kehebatan kepada pasukan lebuh raya Malaysia. Malangnya apa yang kita harap-harapkan tidak tercapai. Pasukan lebuh raya kita gagal raih sebarang pingat. Kegagalan ini sama sekali kita tak duga. Kita harapkan Seers boleh bimbing pelumba Malaysia. Rumusan kita ialah pelumba lebuh raya Malaysia pergi ke Jakarta tanpa persiapan yang mencukupi.
Namun, perkara seperti ini boleh berlaku di dalam dunia sukan. Nama yang besar tak jamin sesuatu. Apa saja boleh berlaku pada hari kejohanan. Cuma apa yang kita tak boleh terima ialah kegagalan untuk kali ketiga berturut-turut (pada Sukan SEA). Jalan segera yang kita ambil untuk dua kejohanan besar (ACC 2012 dan LTdL 2012) ialah kita arahkan Syed Muhammad Hussain (Syed Mazlan) untuk latih pasukan kebangsaan. Sekarang pelumba-pelumba kita sedang berlatih bersama Syed Muhammad Hussain dan nampaknya mereka ada sedikit peningkatan.
Jadi apakah sasaran persatuan pada ACC 2012 dan LTdL 2012?
Seperti biasa kita akan terus letakkan sasaran yang besar kepada Syed Muhammad Hussain. Kita mahu dia mencapai kejayaan sekurang-kurangnya (pasukan lebuh raya negara) berada dalam kelompok lima teratas. Itulah adalah garis penanda untuk ACC 2012. Sebagaimana yang kita tahu tiga negara lain yang telah layak ke Sukan Olimpik 2012 iaitu Jepun, Iran dan Uzbekistan telah sahkan penyertaan dalam acara lebuh raya di ACC 2012.
Saya pasti mereka akan hantar barisan pelumba terkuat untuk uji susunan yang akan disenaraikan ke London nanti. Saya juga pasti negara-negara seperti Iran, Hong Kong, China dan Korea Selatan akan tampilkan pelumba kuat. Malah, Korea Selatan telah tunjukkan komitmen yang tinggi apabila datang ke Kuala Lumpur lebih awal itu mulai 20 Januari lalu. Begitu juga Qatar dan Iran pada 26 Januari lalu. Ini menunjukkan mereka pandang serius ACC 2012 kerana mereka mahu uji kekuatan terkini pelumba lebuh raya masing-masing.
Pada LTdL 2012 pula, saya harapkan Syed Muhammad Hussain gunakan kepakarannya untuk bimbing pelumba negara supaya tidak hanya duduk di belakang dan jadi pemerhati. Syed Muhammad Hussain telah buktikan kepakarannya sewaktu jadi jurulatih TSG (Terengganu Cycling Team). Pada LTdL 2011, beberapa pelumba TSG berjaya naik podium sejak hari pertama lagi. Saya percaya beliau ada kepakaran untuk melonjakkan prestasi pelumba negara.
Tuan Haji, adakah pelantikan Syed Muhammad Hussain ini bersifat sementara?
Perkara ini telah dibincangkan secara kolektif dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 20 Januari lalu. Ketua Pengarah MSN (Datuk Zolkples Embong) turut beri pandangan. Malah, ketua jurulatih (John Beasley) turut ulas dan beri pandangan tentang perkara ini. Kita telah dengar pandangan semua pihak. Ada pihak yang mahukan Seers kembali serta merta melatih pasukan negara untuk ACC 2012 dan LTdL 2012.
Saya hargai pandangan tersebut. Mereka tentu ada alasan tersendiri kenapa mahukan Seers kembali melatih pasukan kebangsaan. Namun, saya berpendapat eloklah kita beri peluang kepada Syed Muhammad Hussain untuk membuktikan kehebatannya. Kita tengok apa yang boleh beliau lakukan pada ACC 2012 dan LTdL 2012. Kita mesti berani ambil keputusan. Dalam hal ini, persatuan percaya Syed Muhammad Hussain wajar diberi peluang. Lagi pun, beliau mempunyai pengalaman bertanding sebagai pelumba.
Apatah lagi, beliau juga merupakan antara 25 jurulatih tempatan yang menghadiri kursus kejurulatihan Tahap 2 yang dianjurkan oleh persatuan tahun lalu. Jadi dari segi kelayakan dan pengalaman, Syed Muhammad Hussain layak jadi jurulatih skuad lebuh raya Malaysia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Saya percaya kita mesti berani berumah di tepi pantai untuk dapatkan kejayaan pada ACC 2012 dan LTdL 2012 nanti.
Soalnya sekarang, apa akan berlaku selepas ACC 2012 dan LTdL 2012?
Rasanya eloklah kita tumpu dahulu kepada ACC 2012 dan LTdL 2012. Setakat ini kita telah beri mandat kepada Syed Muhammad Hussain untuk latih skuad lebuh raya Malaysia pada dua kejohanan besar iaitu ACC 2012 dan LTdL 2012. Selepas selesai dua kejohanan ini nanti, barulah kita duduk semula berbincang untuk perancangan seterusnya. Apa yang melegakan saya sekarang ialah kita ada ramai jurulatih berbakat besar. Untuk berlaku adil kepada Syed Muhammad Hussain, kita tengok apa hasilnya pada ACC 2012 dan LTdL 2012.
Kita andaikan perancangan Syed Muhammad Hussain tidak menjadi. Jadi apakah Pelan B pihak persatuan?
Saya sedar ramai pihak di negara ini mahukan quick result. Ramai yang sebenarnya memerhatikan kerja yang sedang dilakukan oleh Syed Muhammad Hussain. Apa kata kita doakan beliau berjaya. Kita tak boleh menelah kekuasaan Allah. Namun, kita juga harus bersedia menangani sebarang kemungkinan. Apa saja boleh berlaku kepada pelumba Malaysia pada ACC 2012 dan LTdL 2012. Mungkin berjaya, mungkin juga mereka langsung tak boleh berkayuh sehinggakan dikritik oleh ramai pihak. Namun, untuk berlaku adil, Syed Muhammad Hussain baharu saja melatih pasukan negara mulai dari 20 Disember tahun lalu.
Apa sangat yang boleh dilakukan oleh seseorang jurulatih dalam masa singkat? Saya sentiasa mahu berlaku adil kepada jurulatih tempatan. Kita tak mahu dituduh terlalu mengagung-agungkan jurulatih luar. Bagaimanapun, persatuan akan kembali berbincang demi menentukan masa depan pasukan lebuh raya negara selepas selesai ACC 2012 dan LTdL 2012.
Berbalik kepada soal Sukan Olimpik 2012. Apakah perancangan PKBM selepas berakhirnya ACC 2012 dan LTdL 2012?
Kita akan senaraikan 4 orang pelumba sebagai cadangan untuk berlatih di luar negara. Saya cadangkan agar kelompok pelumba ini berlatih di Eropah. Selain berlatih, mereka boleh berlumba pada beberapa kejohanan tertentu. Selepas dua pelumba dipilih, mereka akan terus berada di Eropah sebelum bertolak ke London sekurang-kurangnya dua minggu sebelum acara lepas beramai-ramai elit lelaki diadakan. Setakat ini kita telah kenal pasti beberapa pelumba seperti Anuar Manan, Mohd. Adiq Hussainie (Othman), Amir Mustafa (Rusli), Mohd. Zamri (Salleh) dan Mohd. Harrif (Salleh) yang ada potensi besar untuk ke London.
Bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa keputusan akhir hanya akan dilakukan selepas perbincangan bersama dengan MSN dan Beasley. Kita mahu dengar pandangan semua pihak. Saya rasa cara begini lebih bagus.
Setakat ini apakah laporan terkini yang diterima daripada Syed Muhamad Hussain?
Kita akui pelumba lebuh raya terima sedikit kejutan berlatih bersama beliau. Beliau tampilkan beberapa kelainan. Saya diberitahu Syed Muhammad Hussain lakukan beberapa reformasi terhadap minda dan masa berlatih. Seperti yang kita semua maklum, skuad lebuh raya adakan latihan pusat di Kuala Terengganu. Menjelang ACC 2012, Syed Muhammad Hussain telah arah mereka berkayuh dari Kuala Terengganu ke Gerik. Dari Gerik ke Ipoh seterusnya ke Kuala Lumpur. Ini bermakna mereka tidak lagi naik kereta atau van untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Sebelum ini mereka pernah berkayuh dari Kuala Terengganu ke Muar, Johor untuk sertai Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan. Ini adalah antara kelainan yang ditonjolkan oleh Syed Muhammad Hussain. Daripada apa yang saya terima maklum balas, pelumba-pelumba berasa kelainan yang diterapkan oleh beliau tidaklah membebankan. Malah, mereka mengalu-alukan kelainan yang cuba ditonjolkan ini. Daripada Syed Muhammad Hussain pula, saya terima laporan bahawa pelumba lebuh raya Malaysia sebenarnya berbakat besar dan boleh pergi jauh. Kita sebenarnya boleh tandingi pelumba Jepun, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, China, Hong Kong dan Korea Selatan.
Kembali kepada soal ACC 2012. Mengapa Malaysia jadi tuan rumah hanya selepas lima tahun menganjurkannya? Adakah ini tidak membebankan khususnya dari segi kewangan?
Terlebih dahulu saya ingin maklumkan bahawa ACC 2012 telah pun catat rekod kerana penyertaan lebih 600 peserta termasuk pegawai dan pelumba telah mengesahkan penyertaan. Ini satu fenomena yang baik kepada sukan berbasikal di peringkat Asia. Saya sendiri selaku Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) gembira dengan perkembangan ini. Ini menunjukkan sukan berbasikal di Asia semakin berkembang maju dan mampu untuk menandingi senario di Eropah.
Dari segi penganjuran, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ACC 2012 percaya perkara ini berlaku disebabkan kejohanan ini menawarkan mata kelayakan bagi Sukan Olimpik 2012.
Apabila menyebut soal beban kewangan, saya ingin berterima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana banyak membantu. Soalnya bukannya kita sengaja mahu jadi penganjur, tetapi kita sebenarnya mahu meraih seberapa banyak mata Sukan Olimpik yang ditawarkan pada ACC 2012 iaitu menerusi acara trek dan lebuh raya wanita.
Bagaimana pula dengan soal kualiti pelumba kita sendiri? Pelumba trek dijangka terus menyinar. Bagaimana dengan pencapaian barisan lebuh raya?
Inilah masalah yang kita harus akui sekarang. Wujud jurang besar di antara pencapaian pelumba trek dan lebuh raya. Bagaimanapun, sebahagian pelumba lebuh raya seperti Amir Mustafa, Adiq dan Harrif turut mengambil bahagian dalam acara trek. Ini jadi bukti mereka sentiasa cuba untuk berjaya. Mereka ada winning mentality. Cuma kejayaan itu muncul di mana? Adakah di dalam acara trek atau lebuh raya. Dari segi usaha untuk menang, mereka telah tunjukkan kesungguhan untuk menang.
Tiga pelumba ini juga akan ambil bahagian dalam acara trek seperti scratch race, point race, omnium dan kejar-mengejar individu serta berpasukan. Ini menunjukkan mereka memberi sumbangan kepada acara trek dan lebuh raya. Soalnya, adakah mereka berjaya? Mereka berjaya dalam bidang trek dan terus untuk mencuba dalam acara lebuh raya. Apa yang pasti kita tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.
Bagaimana dengan sasaran pelumba lebuh raya wanita pada ACC 2012?
Jika Masyizaton (Mohd. Radzi) ingin ke Sukan Olimpik 2012, inilah masa yang terbaik. Ini kerana pemenang acara lepas beramai-ramai elit wanita pada ACC 2012 akan dapat slot bertanding di London atas tiket juara Asia. Buat masa ini, hanya acara lebuh raya wanita dan trek masih dapat mata untuk ke London 2012. Seharusnya Masziyaton pandang serius kepada ACC 2012. Saya rasa dia ada peluang kerana laluan pada ACC 2012 banyak beri kelebihan kepada pelumba tuan rumah.
Akhir sekali, apa sasaran persatuan kepada pelumba lebuh raya negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2012?
Seperti yang kita sedia maklum bahawa pelumba lebuh raya tidak diberikan sasaran besar seperti (dua pelumba elit trek) Mohd. Azizulhasni (Awang) atau Josiah (Ng). Mereka sebenarnya tidak tertekan. Jadi tunjukkan kayuhan seperti biasa. Seberapa boleh yang mungkin habiskan perlumbaan. Jangan berhenti sekerat jalan sebagaimana yang berlaku pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India. Tunjukkan kepada dunia bahawa pelumba lebuh raya Malaysia sebenarnya boleh bersaing di peringkat tertinggi. Buktikan kepada dunia bahawa kita ke London secara merit bukannya atas tiket ehsan.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© SukanDMalaya | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO