SKUAD Malaysia berjaya menambah satu pingat gangsa pada hari ketiga Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Pingat tersebut disumbang oleh Mohd. Hariff Salleh dalam acara scratch 10 kilometer (km) lelaki elit selepas ketinggalan kepada pelumba Taiwan, Chun Kai Feng (emas) dan Thurakit Boonratanathanakorn dari Thailand (perak) akibat tayar basikalnya pancit.
Sementara itu, Ju Pha Som Net pula sekadar menduduki tempat kelima dalam acara scratch 7.5km wanita elit.
Begitupun, skuad negara akan mempunyai enam wakil dalam acara keirin hari ini.
Pada aksi separuh akhir di sebelah pagi, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng akan mengetuai cabaran dalam keirin lelaki elit biarpun kedua-keduanya terpaksa beraksi di pusingan repechages.
Dalam kategori wanita elit pula, hanya ratu pecut negara, Fatehah Mustapa sahaja yang berjaya mara ke separuh akhir, manakala seorang lagi pelumba, Ju Pha pula terkandas di pusingan repechages.
Muhd. Fauzan Nor Azman dan Malek Marcus McCrone pula berjaya membuktikan potensi mereka sebagai pengganti kepada Azizulhasni suatu hari nanti apabila kedua-keduanya berjaya mara ke separuh akhir keirin lelaki remaja.
Fauzan dan Malek berjaya melepasi pusingan pertama semalam dengan menduduki tempat kedua dalam saringan masing-masing di belakang pelumba negara Jepun.
Ummi Hamimah Mohamad juga berjaya merealisasikan hasratnya untuk beraksi di separuh akhir wanita remaja selepas menduduki tempat kedua.
Bagaimanapun, seorang lagi pelumba muda, Lauretta Eva Adrian gagal mengekori pencapaian rakan sepasukannya itu apabila gagal dalam pusingan repechages.
Saingan separuh akhir Keirin akan berlangsung sebelah pagi sebelum aksi final diadakan sebagai penutup tirai bagi acara trek ACC 2012.
Setakat ini skuad negara masih lagi mengumpul satu pingat emas, tiga perak dan enam gangsa dan berpeluang menambah kilauan emas hari ini dalam acara keirin.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment