Sukan Olimpik 2012 - Malaysia vs Bahrain 05/02/2012

on Sunday, February 5, 2012



Kim Swee mahu anak didik bangkit pada perlawanan di Manama 

“INI bukan misi balas dendam.” Itu pegangan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menjelang pertemuan dengan Bahrain buat kali kedua dalam kempen Kelayakan Olimpik Zon Asia di Manama hari ini, selepas Harimau Muda tewas 3-2 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, 27 November lalu.

“Saya tidak percaya dengan istilah balas dendam kerana ia sebahagian daripada sifat kebencian dan jika diamalkan, kita akan merana,” kata Kim Swee ketika dihubungi semalam. “Kita lihat apa yang terjadi kepada Indonesia, kerana terlalu ingin membalas dendam kepada pasukan negara, akhirnya mereka menerima padah.
“Jadi pendekatan saya pada perlawanan kedua ini ialah membuktikan yang kita sudah belajar daripada kesilapan sebelumnya dan esok (hari ini) pemain perlu membuktikan apa yang mereka pelajari daripada kekalahan di Bukit Jalil.” 

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia yang mendahului 2-0 menerusi Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli, terlepas peluang mengutip tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan C apabila dibolosi tiga kali dalam tempoh 10 minit sebelum tewas 2-3. 

Sebelum itu, anak buah Kim Swee yang turut memikul misi mempertahankan emas Sukan SEA di Jakarta, tewas kepada Jepun (0-2) dan Syria (0-2). 

Kemenangan ke atas Bahrain hari ini akan menghidupkan kembali peluang negara merebut tangga kedua kumpulan dan beraksi pada play-off di Vietnam. 

“Bahrain sudah tentu ada kelebihan di tempat sendiri, tetapi sokongan padu penyokong lawan bukan masalah buat pemain kita,” kata Kim Swee mengenai peluang anak buahnya di Manama. “Malah kali ini kami lebih bersedia kerana beberapa tonggak sudah pulih dan tempoh persediaan yang panjang sebelum perlawanan. 

“Bagaimanapun pemain yang sudah lama tidak beraksi belum mendapat tahap kecergasan maksimum, jadi mungkin saya tidak dapat turunkan dalam kesebelasan utama. 

“Tetapi kehadiran mereka sudah tentu memberi saya lebih pilihan di bangku simpanan, berbeza dengan situasi di Bukit Jalil di mana selepas Nazmi tercedera, saya tidak mempunyai banyak pilihan untuk memasukkan penggantinya.”

Peluang beraksi di Manama akan digunakan sepenuhnya Kim Swee untuk meningkatkan kecergasan pemain yang baru pulih daripada kecederaan seperti Gary Steven Robbat, Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Ahmad Hazwan Bakri, sekali gus meningkatkan kekuatan skuadnya menjelang pertemuan dengan Jepun, 22 Februari nanti. 



-Perlawanan dijangka akan disiarkan secara langsung diTV1 dan Astro malam ni jam 11.30 malam. Harap semua penyokong Harimau Malaya bersedia didepan tv masing-masing!!!



Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© SukanDMalaya | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO